Custom Search

Sunday 5 April 2009

..::Kanak-kanak Batu 8::..

Semalam baru sahaja tamat satu lagi program dengan pelajar sekolah. Kali ini dinamakan program Kepemimpinan untuk pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Batu Lapan, Changloon, Kedah. Mereka adalah daripada kalangan pengawas, ketua darjah dan juga pengawas pusat sumber yang merupakan kelompok pemimpin di peringkat sekolah mereka. Sekecil-kecil darjah 4 hinggalah ke darjah 6. Kehadiran mereka bukannya kali pertama ke Hutan Lipur Bukit Wang namun tergambar keseronokan yang akan dilalui sepanjang aktiviti 3 hari 2 malam ini.
Dengan tenaga fasilitator seramai 3 orang sahaja dan jugatenaga sokongan Madani Jati seramai 4 orang, inilah yang dirasakan program yang paling mencabar tahun ini. Masakan tidak, dengan kerenah kanak-kanak riang yang sebahagiannya masih tidak mengenali apa itu erti kepemimpinan, ternyata ia menguji kesabaran fasilitator. Memberikan satu-satu arahan adalah sangat mudah, namun bagi memastikan mereka ikut arahan adalah tidak semudah mulut menyebutnya. Kena menjerit-jerit, cakap dengan nada kuat baru mereka nak dengar. Jauh berbeza dengan pelajar-pelajar sekolah menengah yang mana lebih matang dan mudah dikendalikan (pada pandangan peribadi saya la). Sesekali terfikir jugak sepatutnya cikgu-cikgu sekolah rendah ni diberikan gaji yang sangat tinggi kerana mereka perlu berhadapan dengan kanak-kanak yang fikirannya banyak untuk keseronokan dan amat mencabar mendidik golongan ini.
Tapi yang seronoknya ialah pada waktu senaman pagi, macam biasa la...poco-poco dan chicken dance menjadi pengisian utama. Kanak-kanak ini lebih meminati dan menyukai aktiviti bermuzik sebegini. Buktinya poco-poco dan chicken dance mendapat sambutan hangat walaupun pada awalnya ramai pelajar lelaki yang tidak pandai berpoco-poco. Pantang ada masa terluang saja, mereka minta poco-poco dan 'tarian ayam'.
Untuk kumpulan sekolah rendah ini, kami ubah sedikit modul dan pengisian supaya bersesuaian dan dapat diterima dengan mudah oleh kanak-kanak ini. Bagi program WarGame, kami menggunakan modul ambush atau 'serang hendap' yang lebih selamat dari segi perlaksanaannya berbanding konsep 'serangan khemah musuh' yang dibuat oleh pelajar sekolah menengah.
Nyata tanggapan selama ini bahawa kanak-kanak sekolah rendah lebih mudah dikendalikan adalah tidak benar. Buktinya, kami para fasilitator mengalami gangguan suara dan kerongkong akibat terlalu banyak 'bertempik' dengan mereka. Apa pun, kali ini merupakan satu pengalaman yang berharga...
Wah...

Wednesday 1 April 2009

..::JENAN+BESERI=MANTOP::..

Bismillahirrahmanirrahim.
Minggu lepas 26-28 Mac 2009, satu lagi program telah selesai dijalankan. Kali ini melibatkan 2 buah sekolah yang mana pernah menjadi impian saya dulu untuk belajar di sana. Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim dan juga Maktab Rendah Sains MARA Beseri. Program selama 3 hari dan 2 malam ini amat menguji minda para fasilitator dan peserta.

Bermula pada 26 Mac iaitu Khamis, program dimulakan dengan kehadiran kumpulan daripada SMSAH seramai 50 orang pelajar. Saya yang telah menunggu sedari pagi di Bukit Wang keluar menjemput kumpulan ini tepat jam 3.30 petang.
Cabaran pertama yang mereka perlu lalui ialah berjalan kaki hampir 1.5 kilometer menuju ke kawasan rumah rehat Jabatan Perhutanan yang mana menempatkan kira-kira 10 buah chalet di mana kebanyakan program akan diadakan. Seperti biasa sesi ice breaking dimulakan diikuti dengan sesi memperkenalkan barisan jurulatih dan fasilitator yang akan mengendalikan program-program yang telah diaturkan.
Sesi pada malam pertama dipenuhi dengan beberapa aktiviti, antaranya ialah aktiviti ala burung hantu di mana peserta akan diletakkan di tempat yang gelap secara sendirian selama beberapa ketika. Rancangan awal saya mahu meletakkan peserta ini jauh ke dalam hutan selama lima jam dan akan disuruh pulang secara sendirian dalam kepekatan malam tanpa menggunakan sebarang lampu suluh. Namun memandangkan jumlah peserta yang terlalu ramai, mereka hanya diletakkan dalam jarak 5 meter seorang. Namun itu sudah cukup membuatkan sesetengahnya menggeletar ketakutan kerana tidak dapat melihat rakan-rakan di sekeliling mereka. :) Ada yang bernasib baik menerima sedikit kuaci yang diberikan oleh beberapa orang fasilitator bagi menghilangkan kebosanan.
Hari kedua (Jumaat) selepas aktiviti senaman poco-poco dan 'tarian ayam portugis' peserta dibawa ke trek hutan melalui tangga Permatang Seraya. Dalam pendakian, saya lihat stamina para peserta agak tinggi kerana masih mampu melangkah gagah walaupun telah sampai ke anak tangga ke 360. Setibanya di puncak, terdapat sedikit kesulitan kerana trek banyak dihalang oleh pokok tumbang serta keadaan yang sangat merbahaya untuk dilalui. Saya tidak mahu mengambil sebarang risiko untuk membawa mereka melalui trek tersebut. Bagi memenuhi masa yang ada, setiap kumpulan ditugaskan untuk membincangkan secara lanjut mengenai topik kepemimpinan yang telah diberikan sebelum itu.
Selepas solat Jumaat, peserta diajar beberapa senaman perang dan 'dihukum' atas beberapa kesalahan yang mereka lakukan. Dalam masa yang sama, kami menerima ketibaan peserta seramai 34 orang lagi dari Maktab Rendah Sains Mara Beseri, Perlis yang akan menyertai pelajar SMSAH dalam 24 jam berikutnya. Setelah sesi taklimat ringkas, peserta dibahagikan kepada 5 platun untuk fasa seterusnya iaitu peperangan.
Saat ini peserta mula memasuki WarGame yang sebenar di mana perintah akan disampaikan oleh fasilitator kepada platun masing-masing. Perintah yang disampaikan menggambarkan persediaan yang perlu dilakukan, pergerakan ke kawasan pertempuran dan pergerakan semasa serangan ke atas khemah musuh.Setelah selesai penyampaian perintah, setiap platun mula membuat persediaan tempur dengan menyediakan 'bom beracun' yang mana ramuan adalah bahan-bahan yang kotor dan busuk.
Pergerakan dilakukan selepas Isyak ke kawasan pertempuran. Peserta perlu berjalan kaki ke objektif sejauh 5 kilometer dalam kepekatan malam. Nyata berjalan kaki pada waktu malam kelam sejauh ini menguji kekentalan semangat peserta. Saya yang baik hati memberikan peserta rehat beberapa kali dalam perjalanan ke objektif. Tepat pada jam 0130 pagi, semua platun telahpun bersedia dalam kedudukan masing-masing tanpa disedari oleh pihak musuh dan tepat jam 0230 pagi, serangan ke atas kedudukan musuh dilakukan. Pertempuran hebat tercetus dengan balingan 'bom beracun' beserta ramuan 'istimewa' dan berakhir kira-kira 15 minit kemudian. Musuh yang ditawan dibawa pulang ke kem dan disoalsiasat.
Dek kerana kegagalan semua platun melancarkan serangan dengan sempurna, beberapa hukuman telah dikenakan ke atas para peserta sehingga mereka tidak lagi bermaya untuk berjalan pulang ke tempat penginapan. Jelas di sini tiada aspek kepemimpinan diaplikasikan oleh setiap platun dalam serangan yang membawa kepada kegagalan serangan. Diharapkan para peserta dapat memikirkan apakah punca kegagalan serangan itu. Disebabkan saya telah mengantuk, saya hanya memberikan peluang kepada mereka untuk berehat kira-kira jam 4.15 pagi. HE he he he :P
Hari Sabtu penuh dengan kegembiraan dan pelbagai keletah peserta dalam aktiviti Explorace Fear Factor. Di samping mengikut modul yang telah ditetapkan, peserta turut diuji dengan beberapa aspek 'Fear Factor' seperti mencari pacat secara individi, memberus gigi beramai-ramai dan merangkak dalam lumpur yang penuh nikmat. Pastinya ia akan menjadi kenangan yang sukar dilupakan. Menjelang tengah hari, semuanya tamat dan tibalah masa untuk peserta meninggalkan kem. (Habis dan bab formal)
Masuk bab ni dah rasa macam-macam...saya nak gelak pun ada, sedih pun ada...
Mula-mula peserta JENAN bersiap-siap hendak pulang. Sedang saya tengah syok makan, ada yang datang panggil hendak ketemu sama semua fasilitator. Waduh-waduh...dekat nak balik mereka boleh pulak nyanyi lagu "Kenangan Terindah" untuk fasilitator. Erk...sedihnya...nak nangis...tapi masing-masing cover jek buat muka selamba badak...walhal dalam hati dah sebak membuak-buak...
Lebih kurang jugak la bila time geng BESERI nak balik, keadaan hampir sama juga berlaku...Tapi para fasilitator masih lagi macho dan selamba kawal kesedihan di hati...
Saya rasa sedih jugak la sebab selama program Khamis-Sabtu ni saya yang paling banyak 'kenakan hukuman' kepada mereka. Dahsiap kena COP atas dahi dah FASI PALING GARANG+JAHAT.
Anyway, buat adik-adik JENAN dan BESERI memanglah Paklong ini JAHAT & GARANG, tapi sebenarnya baik hati...
Jumpa di sekolah @ maktab sebab paklong selalu ke JENAN dan BESERI
Adios